Tuesday, 3 July 2012

KOSMO 1 JULAI 2012: BEKAM SIHIR


  1 Julai 2012


BAHAGIAN kepala dan tengkuk akan dibekam bagi mengurangkan kesan sihir.


SEJARAH rawatan berbekam yang dimulakan sejak ribuan tahun dahulu sering dikaitkan sebagai kaedah terbaik untuk mengeluarkan darah kotor yang menjadi punca pelbagai penyakit.

Hari ini, berbekam semakin popular kerana manfaatnya didakwa berkesan membantu mengurangkan bisa penyakit gout, migrain dan sakit belakang.

Terbaru, kaedah rawatan Islam ini dikatakan berupaya menangani gangguan sihir.

Menurut perawat bekam di Pusat Terapi Syifa, Ahmad Husin, 36, bekam sihir boleh dilakukan di semua titik yang dipanggil Thibbun Nabawi. Selain itu, bekam juga boleh dilakukan di titik sendi badan.

"Fungsi berbekam jenis ini ialah untuk mengeluarkan endapan sihir atau darah kotor akibat gangguan jin yang bergerak melalui saluran darah manusia.

"Untuk mengatasi gangguan sihir, bahagian yang wajib dibekam ialah kepala dan tengkuk. Bahagian tubuh yang lain dibekam mengikut keperluan, bergantung pada jenis sihir.

"Berdasarkan pengalaman saya, pesakit yang menghidap sihir kerana urusan kerja, dadanya akan sakit.

"Mangsa sihir rumah tangga pula sakit di pinggang manakala mangsa akibat sihir pelaris, mereka terpaksa berdepan dengan kesakitan yang teruk di kaki pada waktu tertentu," ujar Ahmad.

Selama dua tahun mempraktikkan bekam sihir, Ahmad berkata, kaedah rawatan yang disertai amalan bacaan ayat-ayat rukyah itu dapat mengurangkan pengaruh gangguan sihir terhadap pesakit.

"Sebelum memulakan rawatan, perawat perlu membaca ayat Kursi disusuli dengan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas bagi mengelak aura sihir daripada badan pesakit berpindah ke tubuh perawat.

Sihir berjangkit 

"Kebanyakan perawat bekam sihir di pusat ini pernah menerima tempias ilmu sihir daripada pesakit sehingga ada yang serik untuk menjadi perawat lagi," katanya.

Ditanya tentang bentuk gangguan yang diterima, Ahmad memberitahu, ada perawat yang mengalami bisa-bisa badan, demam, hilang semangat dan mendapat mimpi yang kurang baik.

Berpeluang melihat proses rawatan bekam sihir ke atas seorang pesakit, dapat disimpulkan bahawa teknik berbekam sihir dan bekam darah tiada bezanya melainkan pesakit disarankan mengamalkan ayat-ayat rukyah.

"Kaedah bekamnya sama sahaja. Dengan menggunakan sarung tangan getah, perawat akan mengenal pasti urat yang betul sebelum menekapnya dengan cawan bekam yang telah disteril bagi menjamin kebersihan dan pembasminan bakteria serta virus secara maksimum.

"Setelah itu, barulah kawasan tersebut dicucuk dengan jarum pakai buang yang dikhaskan untuk berbekam.

"Proses sedutan darah biasanya dilakukan sebanyak dua hingga tiga kali bagi memaksimumkan pengeluaran darah kotor," ujar Ahmad.

Darah berwarna merah gelap yang berketul-ketul seperti jeli itu dikatakan mengandungi toksik, asid urik, kolesterol, angin, sel darah merah yang rosak dan juga unsur gangguan jin.

Pada akhir rawatan bekam, darah kotor akan dibersihkan dan kawasan bekam disapu dengan kapas beralkohol untuk menyahkan kuman.

"Selepas berbekam, pesakit akan terus terasa segar dan bertenaga kerana badan jadi ringan akibat pembuangan toksik daripada badan.

"Ia juga boleh mengurangkan 50 hingga 60 peratus gangguan sihir dalam badan kerana jin hanya akan bergerak mengikut aliran darah yang kotor.

"Jika darah yang kotor dibuang, Insya-Allah gangguan sihir dapat dikurangkan malah dihapuskan secara berperingkat," ujar Ahmad.

Ditanya mengenai pantang larang sebelum menjalani rawatan bekam sihir, dia menjawab, pesakit dianjurkan berpuasa sehari sebelum temu janji bekam. Jika tidak berpuasa, pastikan perut dikosongkan dua jam sebelum berbekam.

Selepas berbekam pula, pesakit nasihatkan tidak makan dan tidur selama dua jam.

"Rawatan bekam adalah sunah Rasulullah untuk mengubati 93 jenis penyakit klinikal selain gangguan jin.

"Bagi yang sihat tubuh, saya mengesyorkan mereka menerima rawatan bekam sunah ini sebulan sekali manakala bagi yang berpenyakit sama ada klinikal mahupun gangguan jin, rawatan perlu disusuli seminggu sekali sehingga sembuh," jelasnya.

No comments:

Post a Comment